Wacana Raja dan Melayu di PWTC


10-11 Julai 2009, saya bersama Hadi (Presiden) dan Aimran (K.Jabatan JPLP) telah mewakili Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) untuk menghadiri Wacana : Kedudukan Institusi Beraja & Melayu Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif 1Malaysia. Wacana ini telah diadakan di Dewan Merdeka PWTC dan dianjurkan oleh Gerak Gempur Pemikir Tanah Air Malaysia (Gempita!) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar).

Wacana ini bertujuan untuk memberi kefahaman terhadap kedudukan serta hak istimewa orang Melayu dari perspektif Perlembagaan dan Undang-undang Malaysia. Saya hadir atas kapasiti seorang mahasiswa dan anak muda, bukan ahli Pekembar atau mana-mana NGO. Antara yang turut hadir ialah Ketua Jabatan Kerajaan, Ahli Politik, GLCs, Ahli perniagaan, pemimpin NGO, golongan profesional, bloggers, dan pemimpin mahasiswa.

Wacana ini memberi peluang kepada 8 orang tokoh untuk membentangkan kertas kerja dan sesi soal jawab.

Sesi 1 (Ucaptama) Oleh : Y.A. Bhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamed (PM ke-4)
Tajuk : Dilema Orang Melayu di Era Liberalisasi dan Globalisasi


Sesi 2

Oleh : Y.Bhg Dato` Shahlan bin Ismail (SU Politik PM)

Tajuk : Pembentukan Negara Malaysia Maju Menerusi Pendekatan 1Malaysia


Sesi 3
Oleh : Y.Bhg Prof Dr Aziz Bari (UIAM)

Tajuk : Kefahaman Kepada Kontrak Sosial dan Peranannya Dalam Pembentukan Masyarakat Malaysia

Sesi 4
Oleh : Y.Bhg Datuk Prof Dr. Hjh Ramlah Adam (UiTM)

Tajuk : Melayu, Kini dan Masa Depan - Gahnya Tanjak di Kepala, Tumpul Pula Keris di Pinggang


Sesi 5

Oleh : Y.Bhg Dato` Salehuddin bin Saidin (SSA)

Tajuk : Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan Dalam Mengimbangi Kedudukan Melayu dan Kaum lain.

Sesi 6

Oleh : Y.Bhg Tan Sri Dato` Seri Prof Dr. Ibrahim Abu Shah (NC UiTM)

Tajuk : Melayu Perlu Bersaing Untuk Kecemerlangan

Sesi 7
Oleh : Y.Bhg Dato` Fuad bin Tan Sri Hj. Hassan (JASA)

Tajuk : Melayu Di Dalam Persaingan Liberalisasi 1Malaysia

Sesi 8
Oleh : Y.A.B Dato` Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak (PM ke-6)

Tajuk : Kedudukan Institusi Beraja & Melayu Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif 1Malaysia.



Menyelami pemikiran golongan nasionalisme tegar, saya sedikit sebanyak berasa terhibur dalam kantuk. Hadir sebagai seorang mahasiswa yang tidak memihak kepada sesiapa, saya cukup teruja dengan semangat, terkadang tertawa dengan hangat yang ditunjukkan oleh peserta wacana yang semestinya terdiri golongan orang-orang lama seperti saya sebutkan di atas.

Pokok utama yang saya boleh kongsi ialah hasil dari wacana tersebut ialah orang Melayu melalui pemimpinnya sedang bertungkus lumus untuk mempertahankan hak istimewa mereka. Ya, saya juga orang Melayu. Tapi saya cuba untuk tidak memasukkan diri saya dalam skop penulisan ini.

Semasa mendengar pembentangan kertas kerja, saya tertanya-tanya apakah hak yang disebut-sebut itu? Lalu saya mendapat jawapan, ianya berkenaan Artikel 153 beserta fasal-fasalnya. Ia berkaitan kedudukan agama Islam, hak mendapat pendidikan, biasiswa, perkhidmatan awam dan lain-lain. Katanya inilah hak Melayu. Saya berfikir lagi, ya ia sudah termaktub dalam perlembagaan. Jadi, apa yang diperjuangkan lagi? Haknya sudah ada, tinggal lagi proses pelaksanaan. Saya fikir, apa yang diperjuangkan ialah bukan mempertahankan hak, tapi melaksanakan hak yang sudah 50 tahun ada ditulis. Mungkin sudah berkulat dan berhabuk.

Kaitan antara Artikel 153 dan Artikel 159, berkenaan kedudukan peruntukan hak istimewa orang Melayu terjamin kebalnya berikutan segala pindaan dan pemansuhan perlu melalui Raja-raja Melayu yang sembilan itu. Saya yakin permasalahan utama bukan pada perlembagaan, tapi pada pelaksanaan. Soal dicabar atau dipersoal, nah disitulah kita boleh melihat sejauh mana ahli politik boleh dianggap pemimpin. Saya pernah mendengar, hak orang Melayu semakin terhakis bukan kerana orang lain yang meminta, tapi kita yang memberi.

Maaf, saya tidak cuba untuk menjadi seorang nasionalisme. Cuma lontarkan apa yang ada di kepala. Saya masih berpegang kepada tujuan hidup 51:56 dan 2:30. Kalam itu masih tersimpan di fikrah saya.

Disana, saya sempat bertemu dengan beberapa orang 'lama' yang jumud (maaf, terpaksa). Rupa-rupanya masih ada orang kita yang berfikiran tertutup lagi kolot. Tidak kurang juga ada hadirin 'tua' yang cuba memperlekehkan ilmu dan pengetahuan mahasiswa. Mereka cuba diminta dihormati, tapi dalam masa yang sama mereka suka untuk di'tertawa'kan oleh mahasiswa.

Di meja makan, kami selesa berbual dengan golongan ahli perniagaan. Mereka semua memandang tinggi pemimpin mahasiswa. Kadang-kadang, terperasan juga telinga ni menerima nasihat supaya mengenang budi kerajaan yang memberi biasiswa. Tapi, saya biasiswa MARA, duit rakyat kan? InsyaAllah saya akan mengenang budi rakyat juga. Ya, saya akan mengenang budi kerajaan persekutuan kerana beberapa perkara, dan saya juga akan mengenang budi kerajaan negeri saya kerana beberapa perkara. Semua berbudi, kitalah yang merasa. Apapun, selepas saya selesai 'membalas' budi yang paling besar iaitu budi Allah s.w.t, maka barulah saya akan memikirkan tentang budi-budi yang lain.

Sesi terakhir selesai pada pukul 11.00 malam. Saya merasakan, hampir 1/3 dewan PWTC dipenuhi oleh mahasiswa dari universiti Lembah Klang.

Soal dasar Liberalisasi yang dilaksanakan oleh Dato` Najib, ayuh mahasiswa sama-sama kita menkaji dan meneliti makhluk apakah Liberalisasi ni. Secara kasar, dasar ini dibuat kerana negara-negara Asean lain telah lama melaksanakannya. Jadi kita akan meniru dan mengikut supaya tidak ketinggalan. Ia soal pembukaan seluas-luasnya kepada pelabur luar untuk melabur dinegara kita, soal ekuiti dan lain-lain. Kerana sekarang, pelabur lebih berminat untuk melabur dinegara-negara yang lebih murah kos buruhnya, dan lain-lain faktor yang telah diterangkan pada wacana tersebut.

Kami bertolak ke Skudai pada pukul 12.40 tengahari, dan sampai pukul 2.50 petang. Fuh, 2 jam 10 minit dari KL ke Skudai. Mantain 150 km/j dengan fortuner HEP. Terima kasih kepada Abang Aidil, staf di pejabat HEP yang sudi bawa Fortuner untuk kami. =)

2 ulasan/cadangan:

muhdzahari said...

Err..lawak jugak NC UiTM tu ya. Melayu perlu bersaing..untuk kecemerlangan. Membawa masuk bukan bumiputera dalam UiTM bagi saya, juga mewujudkan persaingan, dan sekaligus menggalakkan pelajarnya bersaing untuk kecemerlangan juga bukan? Ini pandangan peribadi saya, maaf kalau bertentangan dengan penulis.

Ayat saya sangat skema apabila melontarkan pandangan, he he..

Mohd Hafizul Hilmi Bin Mohd Noor said...

ermm..mungkin kita sekepala.mungkin tdk..wakaka

Post a Comment